GuzelHatun Shares : Awak nak berjaya? Siapa orang berjaya ni?

Kejayaan ada bermacam bentuk. Ada yang menginginkan kejayaan di alam pekerjaan, ada pula yang percaya kejayaan itu apabila dia mempunyai kekayaan atau kebebasan kewangan. Tidak kurang juga yang berkata, kejayaan adalah apabila dia boleh melakukan apa saja yang dimahukan, boleh melancong ke mana-mana pada bila-bila masa tanpa ada kekangan kewangan atau masa.

Benar, setiap orang ada definisi kejayaan diri yang tersendiri. Namun, Al-Quran yang penuh hikmah juga telah memberitahu kita apakah ciri-ciri orang berjaya itu. Al-Quran tidak menggariskan apa itu kejayaan kerana seperti yang kita tahu, definisi kejayaan itu terlalu pelbagai. Oleh itu, kejayaan wang ringgit atau masa atau apa-apa saja, terpulanglah asalkan anda mempunyai ciri-ciri ini yang pastinya bukan saja buat anda berjaya di dunia malahan di akhirat. 

Photo by Abdulla Hafeez

Jom kita soroti apa ciri-ciri orang yang berjaya mengikut firman Allah swt. 😎

Kita mulakan dengan video ringkas ini. Video ini adalah bacaan suci ayat Al-Quran, surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 11.


Orang-orang berjaya adalah orang yang beriman. Siapakah orang beriman ini?

Allah kata, orang yang beriman ini adalah :

  • Seorang yang khusyuk dalam solatnya
  • Seorang yang menjauhi perkara dan perkataan yang sia-sia
  • Seorang yang berusaha membersihkan hartanya (melalui zakat)
  • Seorang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri dan hamba sahayanya
  • Seorang yang menjaga amanah dan janji
  • Seorang yang memelihara solatnya

Jadi, tidak kiralah apa pun definisi kejayaan bagi anda asalkan anda berpegang teguh dengan ciri-ciri orang beriman di atas. Banyak hikmah ciri-ciri ini dalam menjadi orang yang berjaya. Kita juga boleh memperoleh kebahagiaan selain kejayaan.

Photo by David McEachen


HIKMAH CIRI-CIRI ORANG BERIMAN 
DALAM SURAH AL-MUKMINUN

1) Seorang yang khusyuk dalam solatnya
Orang yang khusyuk dalam solatnya adalah seorang yang pandai menyusun prioriti dan fokus dalam sesuatu pekerjaan. Dia tidak mudah terganggu dengan apa-apa gangguan dan banyak kajian tentang produktiviti seseorang apa dia fokus dalam pekerjaannya.

2) Seorang yang menjauhi perkara dan perkataan yang sia-sia
Orang yang berjaya jarang sekali mahu membazirkan komoditi yang paling mahal di dunia iaitu masa. Masa yang ada dipenuhi dengan aktiviti yang boleh menambah nilai diri dan mereka yang berada dengannya seperti membaca, berjumpa/bercakap dengan orang yang lebih berjaya daripadanya supaya dia boleh menimba pengalamannya dan dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang merugikannya.
"You're the average of the five people spend the most time with"

3) Seorang yang berusaha membersihkan hartanya (melalui zakat)
Sikap tamak adalah pemusnah suatu kekayaan jiwa mahupun harta. Zakat mengajar kita untuk menjadi lebih rendah hati, empati dan sentiasa beringat yang harta ini semua datang dariNya. Bila-bila masa pun Allah swt boleh mengambil semula harta itu, jika Dia berkehendakkan.

4) Seorang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri dan hamba sahayanya
Kehormatan diri di sini bermaksud menjaga nafsu diri. Melampiaskan nafsu ke jalan yang dibolehkan iaitu terhadap isteri dan hamba sahaya. Konteks hari ini, hamba tidak lagi wujud. Allah swt menyambung bahawasanya jika seseorang itu mahukan lebih dari kedua ini, sesungguhnya dia seorang yang melampaui batas. Ini adalah hal prinsip dan sedar diri akan tanggungjawab untuk menjadi seorang yang tidak melampaui batas.

5) Seorang yang menjaga amanah dan janji
Amanah dan janji adalah dua perkara yang menentukan samada kita adalah orang yang boleh dipercayai atau sebaliknya. Kepercayaan tidak datang bergolek dan sekiranya kita dikenali sebagai orang yang tiada integriti diri, maka, rosaklah peluang dan ruang untuk kita bekerjasama dengan orang disekeliling dan mencapai kejayaan yang dimahukan.

6) Seorang yang memelihara solatnya
Allah swt mengingatkan kembali akan solat di akhir ayat 11. Memelihara solat adalah satu bentuk latihan mendisiplinkan diri, memupuk rasa kerdil terhadap kuasa yang paling tinggi iaitu Tuhan yang Esa. Solat juga membantuk seseorang menjadi ketua apabila dia mengimami bersolat jemaah dan pengikut apabila dia menjadi makmum.

Jadi, anda sudah bersedia untuk berjaya?
Bentuklah diri mengikut acuan yang Allah swt telah ceritakan supaya bukan saja anda beroleh kejayaan di dunia malahan di akhirat insyaAllah. 💕


++++++++++
Guzelhatun menawarkan koleksi tudung bawal / square hijab daripada material cotton voile yang berkualiti tinggi, dihiasi dengan corak batu tabur atau koleksi premium pada harga yang mampu milik untuk semua!

++++++++++